Assalamualaikum,
Saya nak kongsikan amalan yang boleh dilakukan oleh wanita dalam haid sepanjang 10 ramadhan terakhir. Semoga bermanfaat.
“Errrm tak boleh pulak nak beribadah di 10 terakhir Ramadhan ni…”
Tentunya semangat kita sebagai wanita
berkobar-kobar ingin memenuhi 10 terakhir Ramadhan ini dengan
ibadah-ibadah sunnat. Namun, apakan daya. Ia taqdir ALLAH yang
seseorang itu mesti redha.
Berikut adalah beberapa nasihat yang
wajar diamati oleh para muslimah sekiranya didatangi haid sedangkan di
dalam hati bersemangat hendak beribadah. Disenarai juga beberapa ibadah
yang boleh dilakukan sebagai alternatif kepada solat, puasa dan iktikaf
di masjid yang dilarang mereka melakukannya ketika haid.
1. Redha dengan ketentuan ALLAH
Mempunyai perasaan redha terhadap
ketentuan ALLAH adalah sesuatu yang sangat penting ada di dalam hati
seseorang mukmin. Ia menandakan keimanan seseorang terhadap qadar dan
qadha ALLAH. Sifat redha akan membuatkan seseorang itu menjadi tenang
dan bersangka baik dengan Tuhannya. Dan sifat redha ini adalah sifat
yang mahmudah yang insyaALLAH besar pahalanya di sisi ALLAH. Bukan
senang seseorang itu hendak redha. Justeru, redhalah. Ada ganjaran
pahala buat orang-orang yang redha, insyaALLAH.
Redha adalah tanda kehambaan hamba kepada Tuhannya.
2. Bangun malam di 10 terakhir Ramadhan
Memang ibadah terbaik pada 10
akhir Ramadhan ialah solat-solat sunat. Namun, disebabkan oleh
wanita-wanita haid/nifas tidak boleh bersolat, maka hendaklah dicari
ibadah lain bagi menggantikannya supaya kelebihan beribadah pada waktu
malam tersebut tidak berlalu begitu sahaja. Contoh ibadah yang boleh
dilakukan ialah:
- Membaca atau mendengar ayat-ayat al-Quran tanpa memegang mushaf al-Quran.
- Mentadabbur ayat-ayat al-Quran iaitu melihat makna/terjemahan lalu menghayati maksud ayat-ayat al-Quran.
- Dzikrullah iaitu mengingati
ALLAH sama ada melalui lidah, hati atau perbuatan. Banyak
kalimah-kalimah dzikir yang boleh diucap dan diamati berulang-ulang
kali, antaranya:
- “SubhanAllah” (Maha Suci ALLAH)
- “Alhamdulillah” (Segala Puji Bagi ALLAH)
- “Allahu Akbar” (ALLAH Maha Besar)
- “La Ilaha illa ALLAH” (Tiada Tuhan selain ALLAH)
- “SubhanAllahi wabihamdih, SubhanAllahil`Azim” (Maha suci ALLAH dengan segala pujian kepadaNYA, Maha suci ALLAH Yang Maha Agung)
- “La hawla wa la quwwata illa biLLAH” (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan ALLAH)
- Dan lain-lain lagi.
- Memohon ampun kepada ALLAH iaitu beristighfar. Ucaplah “Astaghfirullah” (aku memohon keampunan ALLAH) berulang-ulang kali. Memohon keampunan daripada ALLAH adalah ibadah yang utama dan penting untuk dilakukan seseorang mukmin, terutamanya pada bulan Ramadhan.
- Berdoa memohon apa yang dihajatkan untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Berdoa juga adalah ibadah.
- Bersolawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.
- Muhasabah diri.
- Membaca buku-buku agama yang darinya boleh menambahkan ilmu, menimbulkan keinsafan dan peningkatan Iman serta makin dekat dengan ALLAH.
- Melakukan amalan-amalan sampingan lain seperti menyediakan juadah untuk bersahur dan mengejut anak-anak atau teman-teman untuk bangun sahur juga boleh dikategorikan sebagai amalan-amalan yang soleh yang bakal mendapat ganjaran ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.
Tidak ada sebab untuk seseorang
meninggalkan ibadah berjaga malam walaupun sedang mengalami ‘uzur’.
Apatah lagi peluang menghidupkan malam pada 10 terakhir Ramadhan.
Kerana kita sangat digalakkan untuk memburu Lailatul-Qadar pada
malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Oleh itu, janganlah ditinggal terus
dari beribadah pada waktu malam walaupun anda sedang didatangi haid.
3. Ibadah-ibadah dan lain-lain amalan soleh.
- Menghadiri majlis-majlis ilmu.
- Menjauhi perbuatan-perbuatan syubhah dan haram terutama yang melibatkan lidah.
- Memberi nasihat, amar ma`ruf nahi mungkar.
- Menulis di emel, blog, laman sosial dan lain-lain bentuk penulisan yang mengajak manusia kembali beragama.
- Menyediakan juadah berbuka puasa untuk
ahli keluarga dan taulan yang berpuasa. InsyaALLAH, seseorang yang
ikhlas memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka akan
turut memperolehi pahala berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa
itu.
- Boleh baca di sini hadithnya: Beberapa Hadith Nabi Tentang Amalan Sunat Pada Bulan Ramadhan
- Berinfaq.
- Membantu orang yang kesusahan.
- Menyebarluaskan salam.
- Dan banyak lagi tidak terkira.
ALLAH Maha Pemurah. Banyak peluang lain
yang ALLAH sediakan buat hamba-hambaNYA. Dan pahala dariNYA memang DIA
sediakan buat hamba-hambaNYA yang suka mencari keredhaanNYA. Konsep
ibadah ini terlalu luas. Bukankah seluruh kehidupan kita juga boleh
jadi ibadah? Selamat beribadah di 10 terakhir Ramadhan.
ALLAHU A`LAM.
– muzir.wodpress.com
Cheers,
Zia ANis
No comments:
Post a Comment