Wednesday, November 14, 2012

Salam Maal Hijrah 1434H

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Salam Maal Hijrah, semoga kesempatan yang Allah berikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya...

Mari hayati artikel Maal Hijrah dibawah.


HIJRAH SUMBER KEKUATAN UMAT

Oleh: Salina binti Musa
Panel Penulis JAKIM
Penghijrahan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah adalah merupakan satu dimensi baru kepada dakwah Islamiah dan seterusnya penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar. Penghijrahan umat Islam dari suasana yang lama iaitu Mekah kepada satu suasana baru iaitu Madinah adalah detik terpenting kepada pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia.
Penghijrahan yang merupakan proses kematangan penyebaran risalah Allah s.w.t ini tidak mungkin berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru.
Sejarah telah menukilkan bagaimana Rasulullah s.a.w menanamkan benih-benih perpaduan, persaudaraan, tolong menolong, pengorbanan, kesungguhan, kecintaan dan ketakwaan di dalam sanubari umat Islam ketika itu iaitu antara golongan Muhajirin dan Ansar. Itulah unsur-unsur terpenting bagi umat Islam ketika itu sebagai persediaan menghadapi cabaran dan ujian yang datangnya sama ada dari kaum Musyrikin Quraisy, golongan munafik, tipu daya iblis atau dari nafsu di dalam diri mereka sendiri.
Demikianlah keadaan kita umat Islam masa kini. Perubahan zaman, tamadun, budaya dan teknologi manusia hari ini yang begitu pantas sebenarnya menghambat umat Islam melakukan persediaan dan persiapan yang jitu lagi mantap bagi menghadapi perubahan dan kejutan tersebut. Ini penting bagi memastikan dakwah Islamiah dan perjuangan menegakkan Syiar Islam sentiasa lancar, maju dan efisien di tengah-tengah arus perubahan dunia.
Perubahan teknologi dan kemajuan manusia yang begitu pesat benar-benar meletakkan umat Islam berada dalam keadaan tiada pilihan selain dari menyiapkan barisan pelapis generasi muda bukan setakat menghadapi ledakan perubahan bahkan meneruskan perjuangan memartabatkan Islam sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Merujuk kepada ciri-ciri hijrah bentuk baru yang perlu ditampilkan, penghijrahan nilai, etika dan peradaban hidup perlu diberi perhatian khusus dalam membentuk sebuah negara menuju alaf baru dan sejahtera. Tiada gunanya kita maju ke hadapan dalam bidang teknologi dan kecanggihan maklumat, tetapi jiwa kita kering kontang dan senang dibawa arus hawa nafsu yang dikepalai oleh iblis dan syaitan. Kita perlu wujudkan keseimbangan kemajuan di sudut rohani dan jasmani.
Dunia tanpa sempadan, perdagangan elektronik, era digital, teknologi maklumat, jenayah siber, perlumbaan ilmu, kuasa ekonomi, kekuatan teknologi dan banyak lagi adalah cabaran yang hanya mampu diharungi oleh generasi umat yang bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual dalam melangkah menuju ke alaf baru. Penghayatan kepada pengajaran di sebalik peristiwa hijrah dan bersesuaian dengan fenomena sekarang, maka umat Islam perlu kepada kekuatan yang berupa keyakinan, kematangan, ilmu, kecekalan, kesungguhan dan kesatuan. Inilah unsur-unsur yang perlu dimiliki dan dibentuk kepada generasi umat Islam sekarang dalam meneruskan perjuangan risalah Islam dalam arus perubahan alaf baru.
Perjuangan meneruskan misi Rasulullah s.a.w di muka bumi ini iaitu meninggikan kalimah Allah sehingga menjadi rahmat kepada sekalian alam, memerlukan keyakinan yang tinggi dan mantap. Generasi ummah perlu yakin bahawa berbekalkan keimanan, semangat jihad dan panduan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah maka sudah pasti perjuangan menyampaikan risalah Islam akan berjaya dan mendapatkan pertolongan serta inayah daripada Allah s.w.t. Keyakinan yang bertitik tolak dari kefahaman Islam yang sebenar berteraskan akidah tauhid adalah sumber kekuatan menempuh pelbagai perubahan hidup dan sistem masyarakat dunia. Bahkan dengan keyakinan ini juga, generasi pelapis akan melihat perubahan-perubahan yang pesat berlaku itu bukanlah halangan yang membantutkan perjuangan, akan tetapi merupakan peluang yang meneruskan perjuangan.
Oleh itu, maka generasi muda umat ini perlulah memantapkan kefahaman mereka menerusi akidah tauhid menerusi mendalami ilmu agama, penghayatan al-Quran, mengkaji sejarah dan perjuangan Rasulullah s.a.w, perbincangan ilmiah sesama para cendekiawan Islam dan yang lebih penting menguatkan hubungan dengan Allah dengan membanyakkan solat, doa, dan ibadat-ibadat sunat.
Jika generasi Islam ini mempunyai keyakinan, pasti jalan-jalan menuju kejayaan akan terbentang. Penghijrahan minda umat ini perlu dilakukan agar berani menghadapi cabaran terutama dengan kewujudan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang memerlukan tenaga mahir dalam bidang teknologi maklumat. Amat menyedihkan jika MSC dipenuhi dengan wajah-wajah orang asing yang mengaut keuntungan sedangkan bangsa kita terpinggir. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka'
Hijrah juga mengajarkan kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur hina. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah maka barisan pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru. Kecanggihan teknologi dan kelicikan tipu daya musuh Islam serta golongan munafik, tidak akan mampu menahan generasi ummah bangun mempertahankan Islam sewajarnya.
Untuk menuju ke alaf baru, generasi Islam khususnya perlu dibekalkan dengan ilmu. Ilmu dan pengetahuan adalah dua perkara yang saling kait-mengait. Orang-orang yang berilmu semestinya adalah seorang yang berpengetahuan. Ilmu dan pengetahuan tidak diperolehi dengan hanya bergoyang kaki dan berbual kosong, tetapi ilmu yang jitu dan mantap hanya diperolehi dengan pembacaan, pengkajian dan pembelajaran.
Umat yang tinggi tamadunnya adalah umat yang berilmu. Sesuatu bangsa atau umat tidak mungkin mampu menerajui dunia dan menjadi contoh kepada umat-umat yang lain tanpa memiliki kekuatan ilmu. Sejarah telah membuktikan bahawa ketika zaman kegemilangan Islam, umat Islam telah menjuarai bidang keilmuan. Siapa yang tidak mengenali Ibnu Sina, tokoh perubatan terulung dunia. Buku beliau 'Al-Qanun Fit-Tib' meliputi semua cabang ilmu perubatan sehingga diulang cetak lebih 16 kali sepanjang 30 tahun dan Eropah menjadikannya sebagai mata pelajaran di universiti dan fakulti perubatan sehingga abad ke-17. Beliau dikenali di Dunia Barat sebagai Avicenna.
Begitu juga Abu Hamid Muhammad al-Ghazali atau Imam Ghazali, tokoh filosof terulung yang mengarang lebih 69 buah kitab dan yang paling terkenal kitab ‘Ihya’ Ulumuddin'. Eropah memanggil beliau Algazel. Tidak lupa juga Abu Bakar Muhammad ibn Yahya atau Ibnu Bajah, tokoh dalam falsafah Islam, ilmu kedoktoran, ilmu falak dan muzik. Buku beliau berjudul ‘Majmu’’ tersimpan di Berlin (edisi Jerman) dan Oxford (edisi Inggeris). Beliau dikenali Barat sebagai Avenrace.
Demikian juga Ar-Razi (Barat memanggil beliau Rhazes) adalah tokoh perubatan yang mengarang lebih 200 buku. Dr. Max Meyerhof menggelarkan beliau tokoh fizik terunggul sepanjang abad. Dalam ilmu bedah pula, tiada siapa dapat menandingi Abul Kasim Khalaf ibn Abbas yang mempelopori ilmu bedah. Beliau dikenali sebagai Abulcasis. Dan siapa yang tidak mengenali tokoh ilmu kimia termasyhur Islam iaitu Abu Musa Jabir ibn Hayyan. Barat yang memanggil beliau Geber menggelarnya sebagai bapa ilmu kimia moden.
Begitu juga pakar astronomi Islam, Muhammad ibn Jabir yang terkenal di dunia barat dengan nama Albategnius. Demikianlah segelintir tokoh ilmuan Islam yang terunggul di dunia dan diiktiraf benua Eropah dan dunia Barat.
Pencapaian umat Islam yang begitu gemilang dalam bidang keilmuan sehingga mampu mencorak dunia disiplin ilmu, tidak mungkin datang secara tiba-tiba dan kebetulan tanpa usaha yang benar-benar gigih dan semangat jihad yang tertanam kuat di dalam jiwa. Generasi pelapis umat ini perlu memiliki daya tahan yang tinggi dalam melangkah ke alaf baru iaitu era cabaran ilmu dan persaingan ilmu pengetahuan. Sesungguhnya daya juang yang tinggi ini dapat dikutip dari generasi hijrah yang pertama menerusi pengajaran peristiwa hijrah. Kegemilangan umat pasti akan kembali jika mereka celik sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya. Jika tidak umat Islam akan kekal dihina dan tertinggal jauh ke belakang dan akhirnya teraba-raba dalam terang.
Ilmu juga diperolehi melalui pengalaman apabila seseorang itu mengalami sendiri perkara-perkara atau peristiwa yang memberi pengajaran kepadanya. Ilmu melalui pengkajian juga dapat diperolehi melalui sejarah para nabi terdahulu. Sejarah mendewasakan kita dan sejarah juga mengajar manusia supaya berilmu. Sejarah kehancuran umat Nabi Nuh a.s , kaum Lut dan sejarah Nabi Ibrahim a.s , Nabi Musa a.s dan lain-lain, memberi kita pengajaran dan ilmu melalui pengalaman sejarah Islam. Sejarah juga telah menunjukkan kepada kita bahawa perkara utama yang dibawa oleh Rasulullah kepada masyarakatnya ialah ilmu pengetahuan yang boleh menyedarkan mereka untuk mengenali diri, mengenal Tuhannya seterusnya melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan kepada mereka.
Umat Islam perlu merenung dan berfikir tentang keruntuhan dan kemusnahan kaum-kaum terdahulu agar dapat memperkukuhkan jiwanya untuk menghadapi alaf baru. Justeru, generasi Islam sekarang perlu mencedok sebanyak mungkin ilmu pengetahuan kemudian diseratkan ke dalam jiwa mereka sebati-batinya, agar alaf baru nanti tidak tandus dari para ilmuan terutamanya ilmuan Islam kerana merekalah yang dapat mengseimbangkan situasi yang semakin condong kepada kemungkaran. Mereka perlu mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya untuk menghadapi abad baru yang bakal menjelang.
Hijrah juga mengajar kita bersikap matang dalam mengambil sesuatu keputusan atau tindakan. Melangkah ke alaf baru yang serba-serbi pantas dan ringkas memerlukan generasi umat Islam yang memiliki kematangan yang tinggi dalam berfikir dan merancang. Kematangan tidak mungkin tercapai tanpa kewarasan dan ketenangan. Unsur-unsur ini sememangnya tersemat di dada umat Islam yang bertunjangkan ajaran Allah s.w.t. Islam sebagai satu cara hidup semestinya telah membentuk sistem nilai yang tersendiri kepada umatnya. Segala sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam sekalipun baik pada pandangan mata manusia, tetap akan tertolak dan begitulah sebaliknya.
Prinsip ini yang mematangkan umat Islam dalam manilai sesuatu yang datangnya dari Barat. Bukan semua yang datang dari Barat itu baik atau ‘maju’. Bersekedudukan, homoseksual, perkahwinan sesama jenis, pelacuran berlesen, pemujaan artis, filem dan majalah lucah dan sebagainya adalah lebih meruntuhkan dari membangunkan tamadun manusia. Sistem nilai yang berteraskan Islam perlu dimiliki oleh generasi umat bagi mengembalikan keagungan Islam di alaf baru. Kewarasan bertunjangkan syariat dan ketenangan bertunjangkan iman dan takwa yang melahirkan kematangan, perlu disemai dan disemat ke dalam jiwa umat Islam di zaman siber ini.
Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan pelbagai peristiwa yang menggemparkan seluruh negara. Kecanggihan era siber yang berteknologi tinggi didorong oleh ‘kecanggihan’ akal fikiran manusia, menjadikan operasi fitnah-memfitnah dan khabar angin berjalan dengan lancar sekali. Berita yang semata-mata gimik, berunsur fitnah, propaganda dan untuk mempengaruhi orang ramai, diterajui oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi dan matlamat tertentu. Generasi umat tidak seharusnya menerima berita-berita ini dengan membuta tuli tanpa terlebih dahulu mengkaji nilai kebenarannya. Mereka seharusnya berfikir dengan matang agar segala yang diterima masuk ke dalam akal tidak bercanggah dengan ketatasusilaan akhlak dan ajaran Islam.
Kematangan dalam bertindak berpandukan batas-batas yang ditentukan oleh syarak adalah amat penting kerana tindakan yang hanya berlandaskan akal dan nafsu boleh menyebabkan negara dan ummah rosak dan binasa. Kita tidak boleh meletakkan kebenaran atas suara ramai. Justeru, perlu kita berpegang atas prinsip yang berlandaskan al-Quran dan Al-Hadith. Ingatlah ketika Rasulullah s.a.w ditawarkan harta, pangkat dan wanita supaya meninggalkan seruan Islam, baginda bersabda:

'Sekiranya diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan pekerjaan ini, tidak sekali-kali aku tinggalkan sama ada aku berjaya atau menemui ajal.'

Akhir sekali, kesatuan dan perpaduan adalah aset terpenting sebagai bekalan umat ke alaf baru. Perpecahan sekalipun sedikit dan kecil, lambat laun pasti akan merebak dan seterusnya menyentap perjuangan umat Islam dari puncak kejayaan. Peristiwa hijrah telah membuktikan betapa perpaduan umat Islam antara Muhajirin dan Ansar adalah intipati kejayaan hijrah dan perjuangan Islam. Memasuki alaf baru yang serba serbi global dan universal tidak memungkinkan kita hidup dalam keadaan terasing dan bersendiri. Dunia tanpa sempadan dan kemajuan yang mempersatukan pelbagai bangsa dan negara adalah cabaran yang berhajatkan umat Islam bersatu padu. Percanggahan pada perkara-perkara pokok mesti dielakkan manakala perselisihan pada masalah cabang atau furu’ pula memerlukan sikap keterbukaan dan berlapang dada.

'Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka’.

Pada hari ini, jelas kelihatan betapa masyarakat Islam semakin tidak bersatu-padu, sekalipun mereka mengetahui bahawa kehidupan begitu adalah sifat masyarakat Jahiliyah. Keadaan masyarakat yang kebanyakannya hidup dengan mempertahankan dan mementingkan diri sendiri boleh melemahkan ummah dan negara. Kini ramai generasi Islam yang terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang merosakkan agama dan bangsa seperti terlibat dengan kumpulan samseng, seks bebas, penagihan dadah dan sebagainya yang seterusnya melemahkan institusi kemasyarakatan. Justeru, kesatuan amat penting untuk membentuk ummah yang teguh di alaf baru. Generasi alaf baru tidak sepatutnya bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sikap individualistik tidak sepatutnya dicernakan dalam pemikiran remaja generasi pemimpin masa depan.
Apa yang perlu ditekankan di sini ialah kita telah mencapai penghijrahan material dengan jayanya dari zaman kemelesetan ekonomi pada era 80-an. Oleh yang demikian, di samping penghijrahan teknologi ke negara ini maka penghijrahan pemikiran, ketamadunan dan nilai-nilai perlu diberi perhatian yang sama pentingnya bagi barisan pelapis umat ini.
Sejarah membuktikan bagaimana umat Islam di serata tempat dan di sebarang zaman, lantaran perpecahan di kalangan mereka maka mereka menjadi mangsa kekejaman, pembunuhan dan permainan musuh Islam. Umat Islam sanggup bermusuhan dan berbunuh-bunuhan tanpa menyedari puak kuffar adalah dalang di sebalik pembunuhan sesama mereka. Inilah yang perlu dielakkan oleh generasi Islam alaf baru dengan mengambil iktibar dan pengajaran dari sejarah manusia dan peristiwa hijrah. Sesungguhnya keyakinan, kecekalan, kesungguhan, ilmu, kematangan dan kesatuan umat Islam adalah lahir dari semangat hijrah. Sememangnya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a adalah merupakan sumber bekalan dan kekuatan umat yang kini kian dilupakan.
                                                           Image Google
*Jom membaca tafsir Al-Quran, sesungguhnya banyak sungguh peringatan dalam Al Quran menyuruh kita semua mengamalkan amal maaruf nahi mungkar...Semoga HIJRAH kita diterima...mari berhijrah teman semua.
Cheers,
Zia Anis

No comments:

Post a Comment

Jerman (Germany) Bandar yang ku lawati

 Assalamualaikum and Hi semua, Wie gehts? Alhamdulilah saya sihat. Setelah berkurun tak update harini nak update blog.  Sepertimana tajuk di...