Pos kali ini bertajuk sebegini setelah membaca blog Dapur Sempadan dan blog-blog lain yang memaparkan pemergian adik Faris mengadap Penciptanya setelah bertarung naya melawan barah. Mengalir air mata saya sangat menulis, sesungguhnya kita sering impikan yang tidak pasti, berangan dan terus berangan agar semua impian tak pasti kita jadi pasti, namun seringkali kita lupa, "kematian adalah kepastian". Waktu yang berlalu terlalu jauh dan tak mungkin berulang lagi, tapi kematian semakin dekat seiring waktu berputar. Saya kongsikan artikel daripada Blog "HALUAN" dan urlnya: http://www.haluan.org.my/v3/index.php/kematian-adalah-suatu-kepastian.html
Kematian Adalah Suatu Kepastian
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَكثِرُوْا
مِنْ ذِكْرِ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ ( يَعْنِي الْمَوْتَ )
Maksud:
Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu berkata: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : “Perbanyaklah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati). Hadith Riwayat Al-Tirmizi.
Sedarkah kita semua, betapa bezanya kehidupan yang ada pada kita, masih lalai hingga kita lupa bahawa sedetik masa berjalan kematian sedang menggamit kita dan kita semakin hampir dengannya. Seperti mana yang diketahui bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti akan berlaku. Satu hakikat atau kenyataan yang dilalui oleh setiap manusia yang hidup di muka bumi ini, Manusia adalah khalifah Allah di dunia ini. Oleh itu, mereka akan dipertanggungjawabkan dengan amanah Allah untuk menegakkan syariat Islam dan memakmurkan alam ciptaan Ilahi dengan mentaati segala suruhan dan menjauhi segala larangan Allah SWT. Kita sering mendengar tentang kematian, tetapi sejauh manakah kita mengambil iktibar daripada kematian yang berlaku samaada di kalangan keluarga kita mahupun sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat setempat.
Renunglah buat keinsafan kita semua bahawa sudah ada antara kita yang telah kembali mengadap Allah SWT. Kita juga mengetahui terdapat pelbagai bentuk kematian. Ada yang mati setelah terlantar beberapa hari di hospital, ada yang mati dengan terjatuh dari bangunan yang tinggi, ada yang mati kerana lemas di dalam air, ada yang mati secara tiba-tiba, tanpa disangka-sangka dan banyak pula yang mati akibat terlibat dengan nahas kemalangan jalan raya dan bermacam-macam lagi jenis kematian yang dapat disaksikan. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui nasib seseorang di akhir hayatnya. Sebab itulah, bagi kita orang yang beiman kepada Allah, hendaklah sentiasa berdoa agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah ( penutupan akhir hayat yang baik ) bukannnya dalam keadaan su’ul khatimah (penutupan akhir hayat yang tidak baik), Na’uzubillahiminzalik!
Semua manusia tidak tahu bilakah dia akan dipanggil pulang untuk bertemu dengan Allah SWT. Dengan erti kata lain, sesiapa pun tidak tahu bilakah nyawanya akan akan dicabut oleh malaikat maut, di tempat manakah badan kita akan terkujur sejuk kedinginan dan sudah tidak bergerak lagi, ketika itu roh kita akan naik ke atas langit dan kita pun belum tahu lagi apakah roh kita akan diterima untuk berhimpun bersama arwah para Anbiya, Syuhada dan Ulama’ atau adakah akan ditolak lalu dicampakkan ke jurang api neraka. Jesteru, saya mengajak kepada pembaca yang budiman marilah kita bersama-sama membuat persediaan yang sebaik mungkin untuk bertemu dengan Allah SWT dan membentangkan segala amalan yang telah kita lakukan di atas muka bumi ini untuk dihitung yang menentukan sama ada akan masuk ke syurga atau dicampakkan ke neraka.
Ingat dan sedarlah wahai saudaraku sekalian, hari ini kita pergi mengusung jenazah orang lain, nanti pada suatu hari pasti akan tiba giliran kita yang akan diusung pula oleh orang lain. Hari ini kita pergi untuk sembahyang jenazah orang lain, nanti pada suatu hari orang ramai akan datang untuk menyembahyangkan kita pula. Kematian adalah suatu hakikat yang pasti akan terjadi, ianya tidak boleh ditangguhkan ataupun dipercepatkan walaupun sesaat apabila ajal kita sudah tiba, janji Allah SWT pasti akan ditunaikan. Malangnya betapa ramainya di kalangan umat Islam pada hari ini yang melupakannya atau sengaja tidak mahu mengingatinya. Bagi mereka kalau boleh tidak mahu mati, hendak terus hidup di dunia yang fana ini buat selama-lamanya. Sesungguhnya kehidupan yang menipu daya ini adalah ibarat penjara bagi orang Mukmin sejati.
Sebenarnya, dalam sebuah hadith Rasulullah SAW terdapat sebuah hadith yang menceritakan bagaimana hendak mengubati hati-hati yang berkarat, seperti mana yang pernah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana hendak mengubatinya Ya Rasullullah? Maka Rasulullah SAW menjawab : Tilawah Al-Quran dan sentiasa mengingati mati” . Mengingati mati adalah pencuci hati yang sangat berkesan. Dari sanalah kita akan memasuki pintu keinsafan dan kesedaran. Marilah sama-sama kita mengambil peluang yang disediakan kepada orang yang mengakui beriman kepada Allah dan mencintai Rasulullah SAW.
Kita akan berfikir dan membuat pertimbangan terhadap sesuatu yang mahu dilakukan bukan hanya untuk masa yang terdekat, tetapi kita akan berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya yang menjangkau wawasan akhirat yang lebih jauh dari itu. Kita berfikir bagaimanakah nasib yang akan dilalui di alam kubur nanti, di Padang Masyhar, ketika di hisab dan ketika dihadapkan kepada Mahkamah Tuhan Rabbun Jalil.
Adakah kita yakin yang kita boleh bernafas pada keesokan hari dengan berbangga akan dosa pada hari ini? Berapa ramai yang menjadikan kematian sebagai iktibar dalam hidupnya kecuali yang mendapat hidayah dari Allah. Oleh yang demikian, bagi umat Islam yang beriman dan bertaqwa kepada Allah marilah sama-sama kita membuat persediaan yang sempurna serta perancangan yang teratur untuk kita dapat selamat daripada api neraka dan mendapat keberuntungan yang sangat besar dengan memasuki Syurga yang penuh dengan segala kenikmatan dan kelazatan yang tidak terhingga.
Susunan:
Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Pegawai Penasihat Agama
UiTM Sarawak
*Semalam saya beratur di e-kiosk KWSP, ramai sangat orang yang ingin mencetak Akaun KWSP, seorang akan mengambil masa 5 minit...menunggu 5 minit seorang x 5 orang= 25 minit sudah membuatkan kita terasa lama menunggu, tapi sedarkah saya dan pembaca sekalian, saat kita menunggu nama dan amalan baik/buruk kita ditimbang..mungkin lama mungkin sekejap...adakah penyatanya nanti mampu membuatkan kita tersenyum puas menerima akaun daripada tangan kanan...Amin, jika tangan kiri, masihkah ada waktu untuk memperbaikinya..Nauzubillah..
Sama-sama renungkan yang "PASTI".
Cheers,
Zia Anis
No comments:
Post a Comment