Assalamualaikum,
Siapa yang dianugerahkan Allah mendengar ceramah kuliah Jumaat di Ikim pagi tadi yang membincangkan mengenai lailatulqadar.
Ustaz tersebut telah menyatakan tanda-tanda tibanya LailatulQadar... iaitu orang yang salih sudah pasti boleh menduga bila tibanya LailatulQadar...kerana hati mereka bersih dan telah berusaha sejak Rejab lagi..
Tanda-tandanya ialah anjing tidak menyalak, suasana hening, jika hujan tidak terlalu lebat, mudah merasa hiba dan rasa ingin menangis...dan keesokkan harinya pagi akan mendung kerana matahari diselimuti oleh kepak para malaikat-malaikat yang kembali ke langit setelah datang bertandang ke bumi untuk bersalam dengan insan istimewa yang beribadat di malam LailatulQadar...
Dan Ustaz tersebut juga menyatakan hadis, riwayat yang menyatakan mungkin LailatulQadar... akan berlaku atau telah berlaku pada malam 21 Ramadhan 1433H iaitu malam tadi, sebab kita bermula puasa hari sabtu, ataupun pada malam 23 Ramadhan 1433H (malam sabtu ini 11/8/2012) ataupun pada 27 Ramadhan 1433H kerana perkataan LailatulQadar dalam bahasa arab ada 9 huruf dan disebut 3 kali dalam surah al qadr..jadi 9x3=27.... dan pada 29 Ramadhan 1433H. Oleh itu masih ada waktu untuk kita teruskan beibadat dan beriktikaf tanpa rasa jemu..sebutlah " Ya Allah pandanglah aku yang sedang solat terawih in, yang sedang mengaji quranMu, yang sedang tahajuud dan sebagainya". Semoga Allah sentiasa mendampingi kita setelah kita bertungkus lumus mendampingiNya.
Disertakn tulisan dari Genta rasa moga bermanafaat.
http://genta-rasa.com/2010/09/01/mencari-bukan-menanti-lailatul-qadr/
Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?
Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.
Allah swt tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu? Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan “lebih baik daripada seribu bulan?”
Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja, tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.
Menurut pandangan kebanyakan ulama tafsir, angka 1000 bulan ini tidak harus diertikan dengan bilangan antara 999 dan 1001. Sebaliknya ia dinisbahkan kepada nilai atau keutamaannya malam itu berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Surah Al-Qadr juga membicarakan tentang para malaikat yang turun disertai Jibrail a.s dengan izin Allah swt dengan membawa urusan. Jibrail turun menyampaikan wahyu yang terakhir kepada Nabi saw. Ini bermakna baginda telah mendapat Lailatul Qadar.
Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?
Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.
Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.
Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu, Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.
Bermula pada malam itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah saw semuanya mendapat bimbingan terus dan intim daripada Allah swt. Apa sahaja yang diucapkan oleh baginda semuanya berpandukan wahyu. Ini berbeza dengan keadaan sebelum baginda menjadi nabi. Rasulullah saw terpaksa juga berperang atau berjuang antara keinginan negatif dengan tuntutan fitrahnya. Hanya setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan tuntutan fitrah sentiasa dapat mengalahkan bisikan nafsu dan syaitan.
Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.
Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa, tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.
Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan, bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al- Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”
Bencana hidup penuh dengan ketakutan dan kesedihan merupakan dua perkara yang sering disebutkan dalam Al-Quran. Namun bagi orang mukmin, Allah swt janjikan bagi mereka tiada ketakutan dan tiada kesedihan atau dalam istilah lain mereka telah mendapat ketenangan.
Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan pengawal bagi mereka. Bayangkan apabila hidup sentiasa dikawal oleh malaikat. Jika hendak berbuat sesuatu yang tidak baik sentiasa ada malaikat yang mengingatkan. Oleh itu beruntunglah mereka yang mendapat Lailatul Qadar.
Nilai umur seseorang selepas mendapat Lailatul Qadar adalah lebih baik
sekalipun ianya singkat. Katalah ada seorang tua berumur 70 tahun telah
mendapat Lailatul Qadar pada malam ini. Bermula pada malam ini,
hidupnya menjadi lebih terarah kepada kebaikan. Katakanlah di Luh Mahfuz
pula telah tercatat umurnya akan berakhir pada 72 tahun. Jadi nilai
umurnya yang dua tahun berbaki lagi itu (yakni setelah mendapat
bimbingan malaikat dengan izin Allah) adalah jauh lebih baik daripada 70
tahun hidup sebelumnya!
Sejarah pernah memaparkan kisah Firaun yang sangat membenci Nabi Musa
a.s dan ingin memalukannya. Dia pun mengatur satu majlis besar-besaran
dihadiri pembesar-pembesar dan rakyat Masir. Ahli-ahli sihir diraja
dikumpulkan untuk berlawan dengan Nabi Musa. Namun sihir-sihir diraja
itu dapat dikalahkan oleh mukjizat Nabi yang berupa ular besar.Ular besar itu telah menelan semua ular ahli-ahli sihir itu. Rasa takjub kepada kehebatan mukjizat Nabi menyebabkan ahli-ahli sihir ini sujud kepada Allah. Mengapa mereka terus sujud menyembah Allah? Ahli-ahli sihir ini tahu membezakan yang mana ular sihir dan ular yang betul. Mereka yakin ular besar yang muncul di hadapan mereka bukanlah ular sembarangan atau ciptaan manusia.
Melihat sahaja ahli-ahli sihir telah beriman kepada Allah swt, Firaun menjadi terlalu marah. Firaun mengugut akan menyalib dan mengerat-ngerat badan mereka jika memeluk agama Nabi Musa. Namun ahli-ahli sihir itu teguh pendirian kerana lebih sayangkan iman daripada nyawa mereka sendiri. Akhirnya Firaun menyalib dan mengerat-ngerat tangan mereka dan dibiarkan sehingga mati.
Katakanlah selepas lima hari barulah mereka mati. Jadi nilai umur ahli-ahli sihir selama lima hari dalam keadaan beriman itu adalah lebih baik daripada umur mereka yang sebelumnya penuh dengan kejahatan.
Jadi, mulai bilakah perlu mempersiapkan diri supaya menjadi orang yang layak menerima Lailatul Qadar? Jawapannya ialah sejak kecil lagi. Nabi saw mempersiapkan diri, roh dan jiwanya sebelum menerima wahyu daripada Allah swt sejak daripada kecil. Baginda tidak pernah berbuat dosa pada ketika orang lain banyak berbuat maksiat. Oleh sebab itu baginda digelar Al-Amin (yang terpercaya) sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi.
Enam bulan sebelum Lailatul Qadar, baginda mengasingkan dirinya secara intensif meninggalkan keluarga dan kaumnya sementara waktu untuk menumpukan hati kepada Allah di gua Hira’. Itulah persediaan jiwa nabi sebelum menghadapi Lailatul Qadar.
Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan didatangi oleh malaikat? Jika tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan didatangi malaikat pada malam Al Qadar.
Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan mengabaikan serta sambil lewa pada 20 malam sebelumnya dan tidak ambil kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Tidak salah menambah pecutan di sepuluh malam terakhir… tetapi momentumnya perlu bermula lebih awal.
Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam
kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam
bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat
jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita
berterusan meningkatkan ibadah.
Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan
bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al
Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa,
tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun
beribadah di bulan Ramadhan sahaja). Tegasnya, Lailatul Qadar itu dinanti dan dicari dengan momentum ibadah yang telah dimulakan sejak akil baligh lagi – hati terus terusan dibersihkan, hingga tiba saatnya layak menjadi wadah tempat bertamunya para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi bisikan jahat, dan perangai pun berubah menjadi baik selama-lamanya.
Jadilah hamba yang mencari malam al Qadar, bukan yang hanya menantinya!
Cheers,
Zia Anis
No comments:
Post a Comment